(Raja Shah Erman Raja Arifin ditemu bual media selepas Sambutan Hari Pentadbir Universiti
Awam Peringkat Kebangsaan Dan Anugerah Gemilang MASTI di Johor Bahru, Johor)
JOHOR BAHRU, 20 Ogos - Peluang memperoleh pendapatan secara harian dipercayai menjadi faktor utama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih berminat bekerja sebagai sebagai penghantar makanan dan pemandu e-hailing berbanding menyambung pelajaran.
Presiden Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI), Raja Shah Erman Raja Arifin berkata lepasan SPM dilihat selesa dengan situasi tersebut yang tidak memerlukan perancangan jangka masa panjang bagi mendapatkan pekerjaan.
"Selain pendapatan mudah golongan berkenaan juga tidak perlu memikirkan hala tuju diri dalam pengajian yang turut menyumbang kepada penurunan kemasukan pelajar di institut pengajian tinggi pada masa kini," kata beliau selepas Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam Peringkat Kebangsaan Dan Anugerah Gemilang MASTI, di sini hari ini.
Penganjuran program kali keempat itu menyaksikan penerimaan anugerah meningkat 300 kali ganda di mana ia bertujuan menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada organisasi dan universiti awam.
(Foto fail)
Ia juga mengiktiraf semua pentadbir universiti terlibat, menerusi pelbagai skim, bagi memberikan sumbangan kepada komuniti.
"Ini sebenarnya satu pencapaian tertinggi dan penanda aras kami juga, pentadbir universiti awam ini mampu mencapai satu resolusi tinggi dalam menjalankan tugas yang diberikan kepada kami, sebenarnya ada 9,652 orang yang bernaung di bawah MASTI," menurut Raja Shah Erman.
Anugerah Khas MASTI turut diberikan kepada RTM yang disampaikan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Professor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.