(Annuar Musa)
JAKARTA, 20 Ogos- Ekosistem industri penyiaran negara tidak boleh terus terikat dengan kaedah konvensional, sebaliknya perlu berkembang seiring kecanggihan teknologi terkini.
Atas dasar itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mahu aspek digitalisasi dalam sektor berkenaan diteroka sepenuhnya.
Antara langkah segera yang perlu dilaksana pemain industri tempatan adalah bekerjasama dengan rakan strategik dari Indonesia.
Republik itu memiliki ekosistem penyiaran yang menyeluruh dipacu teknologi terkini.
Ini berdasarkan pemerhatian Annuar menerusi lawatan ke MNC Studios Jakarta iaitu syarikat milik kumpulan media terbesar dan terintegrasi di Asia Tenggara, MNC Group.
"Ini yang saya tengok adalah perkara yang mungkin sedikit berbeza dengan apa yang kita dapat lihat di negara kita pastinya perbezaan besarnya di Indonesia mempunyai pasaran tempatan yang membolehkan mereka mempunyai konsep yang sedemikian, namun pada saya itulah konsep yang betul.
"Yang pentingnya adalah responsif kepada penyertaan pasaran dan membentuk satu ekosistem yang bersepadu dan juga perniagaan yang saya anggapkan memandang ke hadapan.
"Saya sangat tertarik dengan beberapa perkembangan termasuk yang terkait dengan animasi dan juga 'super apps approach' di mana sangat-sangat di pacu pasaran. Pendekatan yang sangat-sangat sesuai berasaskan kepada keperluan pasaran," menurut Annuar.
(Annuar (tengah) semasa melawat MNC Studios di Jakarta)
Beliau berkata demikian selepas melawat MNC Studios milik kumpulan media terbesar dan terintegrasi di Asia Tenggara, MNC Group, di sini.
Annuar yang dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari sejak Khamis ke Indonesia diiringi Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia, Adlan Mohd Shaffieq dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perfileman Malaysia (FINAS), Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim.