fb fb fb fb fb

Kerajaan timbang tingkat peruntukan Kementerian Kesihatan

BERA, 20 Ogos- Kerajaan sedia memberi pertimbangan sewajarnya termasuk menambah peruntukkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Belanjawan 2023 yang dijangka dibentangkan Oktober nanti.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini memandangkan KKM merupakan antara kementerian penting yang berurusan secara terus dengan rakyat.

Beliau memahami keperluan KKM mendapatkan peruntukan yang tinggi kerana Malaysia bakal menjadi negara tua pada 2040, sekali gus berhadapan dengan perbelanjaan kesihatan yang tinggi.

"Baru-baru ini sewaktu mesyuarat penyelarasan projek pembangunan di bawah RMKe-12 saya telah memaklumkan kepada mensyuarat bahawa Kementerian Kesihatan perlu dibantu dari segi bajet yang akan datang kerana waktu itu kita membincangkan tentang Malaysia akan menjadi negara tua pada tahun 2040," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hospital Bera, di sini hari ini.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) menyempurnakan perasmian Hospital Daerah Bera hari ini/BERNAMA)

Ismail Sabri berkata beliau juga menyedari bahawa negara-negara tua lain telah meningkatkan bajet kesihatan masing-masing, kerana terdapat pertambahan kemasukan warga tua di hospital.

Menurutnya, pembinaan Hospital Bera juga menjadi bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam membangun serta menyediakan kemudahan kesihatan, bagi Keluarga Malaysia menikmati perkhidmatan kesihatan yang baik dan berkualiti.

"Saya sempat meninjau perkembangan pembinaan hospital ini pada Oktober tahun lalu yang ketika itu sudah siap 98 peratus, selepas terbengkalai sejak sekian lama akibat kegagalan kontraktor.

"Alhamdulillah, akhirnya hospital yang mula dibina pada 2010 berjaya juga disiapkan. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya dan pihak berkepentingan yang lain, kerana bekerjasama merealisasikan pembinaan Hospital Bera ini," katanya.

(Hospital Daerah Bera yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini/BERNAMA)

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang menjadi figura utama dalam proses merealisasikan pembinaan Hospital Bera.

Hospital yang mula dibina pada tahun 2010 itu siap Jun lalu selepas berdepan pelbagai masalah membabitkan kontraktor asal yang diberi tanggungjawab membina kemudahan berkenaan.

Hospital yang memuatkan 40 katil itu dapat memberi kemudahan kepada kira-kira 150,000 penduduk di daerah Bera.

Hospital Bera bakal dilengkapi dewan bedah

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya pada majlis tersebut berkata kemudahan dewan bedah bernilai RM9 juta akan dibina di Hospital Bera dalam masa terdekat bagi melengkapkan fasiliti hospital berkenaan.

Beliau turut mengumumkan fasa pembinaan bagi blok wanita dan kanak-kanak Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dijangka dimulakan hujung tahun ini dan siap pada tahun 2026.

Khairy juga berkata pihak KKM sudah menyiapkan dan menyerahkan dua fasiliti kesihatan kepada kerajaan Pahang membabitkan klinik dan kuarters kesihatan Kampung Temai, Pekan pada 1 Julai lalu dan Kampung Chegar Perah, Lipis pada 15 Julai lalu.

Selain dua lagi fasiliti kesihatan dijangka dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini membabitkan klinik dan kuarters kesihatan bandar Raub yang dijangka siap awal September, manakala kerja naik taraf bangunan hemodialisis Hospital Raub pada awal November.

Media Baharu