fb fb fb fb fb

JMKM MYGrocer@Wilayah dilancar, tawar harga barangan lebih murah

(Shahidan Kassim)

LABUAN, 20 Ogos- Pelancaran Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) MYGrocer@Wilayah 2022 di pulau bebas cukai ini dapat mengurangkan beban kewangan pengguna dengan penawaran harga barangan yang lebih murah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata program yang dilaksanakan selama lima bulan bermula hari ini hingga 31 Disember melibatkan lapan jenis barangan yang diberikan subsidi.

Ia meliputi ayam segar/ayam bulat sebanyak RM3, telur ayam (RM0.50), tepung gandum satu kilogram (RM0.20) dan gula satu kilogram (RM0.15).

Barangan lain, sardin bukan premium 425gm dengan kadar subsidi sebanyak RM0.50, beras bukan premium lima kilogram (RM1.50), susu pekat 500gm (RM0.70) dan santan kotak 200ml (RM0.20).

"Kita menyantuni semua, dari segi ini saya ingat rakyat boleh menyuarakan pandangan mereka di mana kekurangan yang perlu kita tampungi.

"Saya melihat sekarang ini ialah rakyat bagi tahu di mana kekurangannya dan kita akan teruskan pembelaan kepada rakyat," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan gimik pelancaran JMKM di salah sebuah pasaraya, di sini.

(Sebanyak lapan jenis barangan yang disenaraikan dalam JMKM MYGrocer@Wilayah diberikan subsidi)

Sementara itu, warga Labuan yang ditemui menyambut baik program dilaksanakan.

"Rasa gembiralah, kira membantu juga rakyat, sangat baik dan patut diteruskan," kata Sani Abdullah.

"Pandangan saya bagus kalau dibuat setiap minggu, bagus untuk kami rakyat Labuan terutama bagi golongan B40," menurut Rudy Nesar.

"Bagi saya sangat menariklah sebab macam yang kita boleh nampak banyak barangan yang ditawarkan untuk JMKM kali in, ada diskaun, jadi sangat membantu rakyat di Labuan ini," jelas Nurul Ashikin Suhaili.

Media Baharu