(Tan Sri Noh Omar berucap pada sesi dialog bersama Persatuan, Koperasi dan Usahawan sempena
Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 Negeri Selangor/ Foto BERNAMA)
SHAH ALAM, 20 Ogos - Agensi yang terlibat dalam pensijilan halal diminta agar mempermudahkan prosedur serta peraturan mendapatkan dokumen tersebut bagi kemudahan peniaga khususnya dalam kalangan usahawan beragama Islam.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar, aspek tersebut dilihat penting kerana tidak hanya melibatkan keperluan mendapatkan sijil halal tetapi juga membantu usahawan kembali bangkit dan memajukan perniagaan mereka.
“Sebagai menteri yang menjaga (hal ehwal) usahawan, saya berharap agar proses sijil halal ini dipermudahkan kerana yang memohon adalah peniaga Melayu dan beragama Islam.
(Tan Sri Noh Omar berucap pada sesi dialog bersama Persatuan, Koperasi dan Usahawan sempena
Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 Negeri Selangor/ Foto BERNAMA)
“Adalah mustahil mereka mahu menjual barangan yang tidak halal. Saya sendiri telah bangkitkan isu ini di peringkat Kabinet, namun masalah sama masih timbul.
“Oleh itu, saya minta agar pihak berkenaan melihat semula prosedur dan peraturan supaya dapat dipermudahkan,” kata beliau ketika ditemui selepas menghadiri sesi dialog bersama usahawan bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) negeri Selangor, di sini hari ini.
Noh berkata isu tersebut sering dibangkitkan usahawan dan KUSKOP sendiri turut mempunyai unit khas bagi membimbing usahawan untuk memperoleh sijil halal.