fb fb fb fb fb

"Membangun Malaysia Madani" lonjakan baharu buat negara

PUTRAJAYA, 19 Januari- Konsep Madani disasar untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka bagi memperkukuh lapan keperluan melibatkan Ekonomi dan Kewangan, Perundangan, Pendidikan, Kemasyarakatan, Budaya, Bandar dan Luar Bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam amanatnya menjelaskan Madani merupakan satu kerangka dasar yang terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu keMampanan (M), kesejAhteraan (A), Daya cipta (D), hormAt (A), keyakiNan (N) dan Ihsan (I).

Menurut Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkaitan, amanat Perdana Menteri hari ini adalah berpaksikan latar pengalamannya dalam keprihatinan dan perjuangan rakyat bermula daripada gerakan pelajar, aktivis sosial, ahli politik, pemimpin kerajaan sehinggalah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Amanat bertemakan "Membangun Malaysia Madani" itu disiarakan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), BERNAMA TV, Facebook JPM dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) . 

Menurut kenyataan sama, agenda dasar kerangka Madani bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan semasa negara tetapi turut menyentuh pencorakan masa depan serta memenuhi potensi rakyat dan negara.

Majlis amanat itu diadakan sejurus selepas Proram Wacana Membangun Malaysia Madani yang diadakan bermula pukul 9.00 pagi sehingga 11.00 pagi.

Ia bagi meneroka tonggak dasar Madani dalam usaha untuk memberi kefahaman yang lebih tuntas dalam kerangka pemikiran, falsafah, etika dan tindakan dalam membangun Malaysia Madani. 

"Wacana tersebut telah disampaikan empat orang ahli panel; terdiri daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Presiden Kolej Dar Al-Hikmah, Datuk Prof Muhd Nur Manuty; Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Datuk Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Prof Dr Haslinda Abdullah," menurut kenyataan tersebut.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut meluncurkan versi terkini buku "Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi yang diterbitkan oleh Institut Darul Ehsan (EDI) dengan 215 halaman.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Turut diadakan Mini Pameran Malaysia Madani bagi memberi pencerahan secara dekat kepada hadirin mengenai enam tonggak dasar Madani melalui bahan pameran yang memberikan maklumat serta penerangan konsep Madani.  

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan menteri-menteri kabinet lain.

Media Baharu