MERLIMAU, 9 Julai- Melaka sentiasa bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19.
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh memberitahu, perancangan awal telah dilaksana Jabatan Kesihatan Negeri bagi membendung virus itu.
Jelas beliau, sehingga semalam, kes COVID-19 di Melaka berada pada tahap rendah dengan kadar kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) juga hanya 6.9 peratus.
"Memang ada persediaan, kami sentiasa bersedia, walaupun kita sudah tiada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) tetapi kita sudah ada pelan sokongan lain.
Semuanya berjalan dengan baik, teratur dan kita mampu mengawalnya," katanya di sini.
(Dr Muhamad Akmal Saleh, Exco Kesihatan dan Antidadah negeri)
Menurut beliau, menjelang sambutan perayaan Aidiladha esok, pihaknya mengingatkan orang ramai khususnya di Melaka untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka di dalam premis tertutup dan kerap mencuci tangan.
Individu yang mempunyai gejala atau disahkan positif COVID-19 dinasihat untuk tidak hadir ke masjid atau surau menunaikan solat sunat Aidiladha serta program ibadah korban bagi mengelak penularan jangkitan.