fb fb fb fb fb

Banjir di Baling : Agong zahir penghargaan buat kerajaan persekutuan, negeri atas tindakan segera

KUALA LUMPUR, 9 Julai- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan dan negeri yang mengambil tindakan segera dalam membantu penduduk terjejas banjir di Baling, Kedah.

Penghargaan sama turut dizahirkan kepada agensi kerajaan, petugas keselamatan, syarikat swasta dan individu terlibat.

Kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di Baling, Isnin lepas.

Baginda menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga mangsa yang meninggal dunia akibat insiden berkenaan, selain berharap mereka sabar menghadapi suasana sedih dan pilu.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar penduduk terjejas terutama yang hilang kediaman, tabah menempuhi dugaan berat itu.

(Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan dan negeri yang mengambil
tindakan segera dalam membantu penduduk terjejas banjir di Baling, Kedah)

Sebagai tanda solidariti, Baginda berkenan mengambil maklum bahawa masjid-masjid di seluruh Pahang melaksana kutipan sumbangan pada solat Jumaat semalam untuk dihulur kepada individu terjejas banjir di Baling.

Kerajaan dan badan bukan kerajaan diminta supaya terus menghulur bantuan bagi meringankan beban penduduk terkesan.

Seri Paduka mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan agar Malaysia sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah.

Media Baharu