fb fb fb fb fb

Melaka setuju naikkan elaun saraan pentadbiran negeri, ADUN dan Exco

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

AYER KEROH, 29 November - Kerajaan Negeri Melaka bersetuju untuk menaikkan elaun saraan 155 Ahli Pentadbiran Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (Exco).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kenaikkan itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM3.47 juta setahun itu, bermula tahun hadapan.

Katanya, ia melibatkan 32 ahli yang masih berkhidmat manakala 123 ahli ADUN yang telah berpencen sama ada mereka yang menerima pencen atau pencen terbitan.

Pindaan yang dilakukan ialah terhadap Seksyen 3 untuk menaikkan bayaran Elaun Tetap Ahli Dewan daripada RM9,000 kepada RM12,000, Seksyen 4 untuk menaikkan saraan Speaker Lantikan Dari Kalangan Ahli Dewan daripada RM7,000 kepada RM11,000 dan Speaker Bukan Lantikan Ahli Dewan daripada RM8,000 kepada RM11,000.

Ab Rauf berkata kedua-dua jawatan Speaker itu juga diberikan Elaun Ahli Dewan sebanyak RM12,000 berbanding RM9,000 ketika ini.

Dalam usul sama, turut dikemukakan ialah pindaan terhadap Seksyen 4A untuk menaikkan saraan bagi Timbalan Speaker daripada RM3,000 kepada RM4,000 selain Seksyen 6(1)(a) bagi menaikkan saraan Anggota Pentadbiran bagi Ketua Menteri kepada RM18,000 berbanding RM15,000 ketika ini.

Hal itu juga melibatkan pindaan terhadap Seksyen 6(1)(b) untuk menaikkan saraan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) daripada RM7,000 kepada RM8,000.

Selain itu, bawah Seksyen 11A ada menyatakan mengenai Elaun dan Keistimewaan Bagi Pegawai Tertentu iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri sebagai ahli rasmi MMKN, boleh sebagai tambahan kepada gaji yang diterima dan elaun dinikmati mereka sebagai pegawai awam, diberi apa-apa elaun lain dan keistimewaan seperti ditentukan Pihak Berkuasa Negeri dari semasa ke semasa iaitu dinaikkan daripada RM8,250 kepada RM9,250 sahaja.

"Saya telah pun membentangkan usul dan rang undang-undang untuk meminda seksyen 3, 4 dan 4A dan enam enakmen pentadbiran Dewan Undangan Negeri (saraan) pindaan 2023 bagi meluluskan kenaikan saraan untuk anggota pentadbiran kerajaan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli-ahli majlis kerajaan negeri. Kenaikkan seperti mana saya maklumkan dan buat pertama kalinya dapat sokongan daripada dua orang ahli DUN bukan kerajaan sokong usul ini," kata Ab Rauf dalam sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di Seri Negeri, di sini.

TETITIA YUSOFF