AYER KEROH, 29 November- Melaka akan memperluas penggunaan sistem kecekapan pengurusan katil Bed Management Unit (BMU) ke seluruh hospital di negeri itu secara berperingkat.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata sistem itu diyakini berkesan dalam memastikan kes-kes pesakit di wad diuruskan dengan lebih baik dan memendekkan tempoh menunggu pesakit masuk ke wad.
Menurutnya, terdapat keseluruhan 2,212 katil hospital kerajaan dan swasta di negeri itu, setakat ini.
"Kita akan melaksanakan secara berperingkatlah, di Jasin dan Alor Gajah. Ini bagi membolehkan kes-kes berkaitan keluar dan masuk wad berjalan lancar, sekali gus memendekkan tempoh menunggu pesakit masuk ke wad.
Sistem ini memang terbukti memang efisien," kata Hee Sem kepada pemberita dalam sidang media Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di Seri Negeri, di sini.
Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa berhubung terus dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka bagi memantau status penggunaan katil melalui papan pemuka (dashboard) sistem atas talian Health Information System (HIS@KKM) dan Medical Program Information System (MPIS).
Setakat ini, nisbah katil hospital kepada penduduk di Melaka adalah 2.21 bagi 1,000 penduduk, lebih baik berbanding purata nisbah peringkat kebangsaan iaitu 2.01 bagi setiap seribu penduduk.