JASIN, 10 Februari - Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menyasarkan kira-kira 48,000 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negeri itu menerima vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) menjelang akhir bulan ini.
Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata sejak pendaftaran dibuka melalui MySejahtera, lebih 15,000 ibu bapa bersetuju untuk membenarkan anak mereka divaksin.
Jelasnya, pemberian vaksin berkenaan amat penting kerana sejak pandemik itu melanda negara, sejumlah 7,738 kes dikesan membabitkan kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun.
Manakala, satu hingga tiga tahun sebanyak 3,297 kes direkodkan. Empat kematian melibatkan kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun akibat COVID-19.
"Kita perlu sedia maklum walaupun vaksinasi untuk kanak-kanak adalah tidak wajib tetapi sebagai ibu bapa, kita perlu menilai risiko yang lebih tinggi", katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Dato’ Ahmad Ithnin, di sini.
"Hari ini risiko mendapat kesan sampingan vaksin adalah 0.001 peratus tetapi risiko anak-anak untuk mendapat jangkitan COVID-19 di negeri Melaka lebih tinggi iaitu sebanyak 13.9 peratus, katanya.
Sehingga semalam seramai 1,360 kanak-kanak telah divaksin.