fb fb fb fb fb

Elak kecacatan, kematian daripada pembedahan meragukan

PUTRAJAYA, 10 Februari - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati mendapatkan perkhidmatan perubatan estetik bagi mengelakkan komplikasi kesihatan, kecacatan serta kematian.

Pengarah Bahagian Amalan KKM, Dr Mohd Azman Yacob berkata waspada sekiranya mendapatkan perkhidmatan (terutama prosedur-prosedur invasif) yang ditawarkan di rumah hotel, spa/salun kecantikan atau premis lain yang meragukan.

Katanya, perkhidmatan hanya boleh dibuat oleh pengamal perubatan yang berdaftar di premis atau dilesenkan di bawah KKM.

"Hanya pengamal perubatan berdaftar yang telah ditauliahkan dengan Letter of Credentialing & Privileging of Aesthetic Medical Practice (LCP) sahaja yang dibenarkan untuk menjalankan prosedur-prosedur perubatan estetik," katanya melalui kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, ia termasuk perkhidmatan seperti pembedahan plastik:- Rhinoplasty (pembedahan hidung), Alarplasty (pembedahan cuping hidung), Liposuction (pembuangan lemak), Blepharoplasty (pembedahan kelopak mata) dan sebagainya), suntikan botox dan filler, laser, High Intensity Focused Ultrasound (HIFU) dan lain-lain lagi.


Tambahnya lagi, pengamal perubatan yang bertauliah LCP disenaraikan di dalam Daftar Kebangsaan (National Registry of Registered Medical Practitioner Practising Aesthetic Medical Practice) yang boleh dicapai melalui pautan https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2118.

"Semua pengamal perubatan berdaftar ini hanya dibenarkan memberi perkhidmatan perubatan estetik di premis yang berdaftar atau dilesenkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586]".

Beliau menasihati orang ramai agar menyemak terlebih dahulu senarai premis tersebut melalui pautan www.medicalprac.moh.gov.my.

"Prosedur-prosedur ini berpotensi menyebabkan komplikasi kesihatan, kecacatan serta kematian kepada pelanggan jika dikendalikan oleh individu yang tidak berkelayakan. Prosedur perubatan estetik juga mempunyai senarai kontraindikasi yang hanya boleh dikenalpasti oleh pengamal perubatan sahaja," tegasnya.

Katanya, KKM akan terus memantau dan menjalankan aktiviti penguatkuasaan ke atas individu-individu yang melakukan kesalahan undang-undang dalam perkhidmatan kesihatan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain seperti Majlis Perubatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan sebagainya.

"Sebarang aduan berkenaan perkhidmatan perubatan estetik boleh disalurkan kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.."


Media Baharu