fb fb fb fb fb

Melaka mencatatkan lebih 7,500 kesalahan melebihi had laju dalam Operasi HRA 2022

BUKIT KATIL, 18 Mei - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Awam (AWAS) merekodkan lebih 7,500 kesalahan melebihi had laju dalam Operasi Sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 yang berakhir 8 Mei.

Menurut Pengarah JPJ Melaka, Mohamad Firdaus Shariff jumlah itu dicatatkan menerusi empat kamera AWAS di Lebuhraya Utara Selatan Jasin dan Alor Gajah.

Kesalahan tertinggi direkodkan pada 2 Mei iaitu sebanyak 1,213 kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan.

"Faktor itu mungkin sudah dua tahun tidak dapat sambut raya, jadi semua nak balik raya. Yang kedua mungkin kerana jalan lengang. Saya pun tak pasti. Yang sebenaarnya faktor pemandu itu sendirilah, yang memandu tidak mengikut kelajuan yang ditetapkan," kata Firdaus di sini.

Sementara itu dalam operasi pemeriksaan motosikal yang dijalankan sepanjang tempoh sama, daripada 678 motosikal yang diperiksa 454 motosikal telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dengan enam motosikal disita.

Manakala untuk operasi penyamaran, tiga kesalahan membabitkan pemandu bas ekspres dikesan dan diambil tindakan.

 

(Firdaus berkata demikia dalam sidang media selepas
acara lelongan awam berkenaan di Pejabat JPJ Melaka, di sini)

Dalam pada itu, lebih RM240,000 kutipan hasil berjaya dikumpulkan JPJ Melaka melalui bidaan 30 kenderaan dalam lelongan awam kenderaan sita Bil. 1/2022.

Firdaus berkata, kenderaan yang dilelong melibatkan 21 buah kereta, 8 motosikal dan sebuah semi treler.

Kesemua kenderaan yang dilelong itu merupakan kenderaan yang telah di sita untuk tahun 2015 hingga 2020.

"Untuk makluman semua kita pada kali ni kita buat lelongan bagi 30 buah kenderaan yang mana 21 buah kenderaan adalah kenderaan motokar, 8 motosikal dan 1 semi treler. Daripada 30 buah kenderaan itu 21 buah kenderaan adalah kenderaan yang boleh dilesenkan dan 8 adalah merupakan kenderaan yang dijual sebagai kenderaan skrap," menurut Firdaus lagi.

Kenderaan dengan bidaan tertinggi RM30,100 iaitu sebuah kereta jenis Honda Civic.

Sesi ke-2 lelongan awam kenderaan sita itu dijangka akan dilaksana pada bulan September depan.

Media Baharu