fb fb fb fb fb

Polis terima banyak aduan membabitkan pemandu dan penunggang e-hailing

KUANTAN, 18 Mei - Pemandu dan penunggang e-hailing di daerah Kuantan, Pahang dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya agar tidak menjadi rungutan masyarakat setempat.

Malah, Bahagian Penguatkuasaan Trafik daerah Kuantan kerap menerima aduan masyarakat setempat berhubung kesalahan lalu lintas seperti tidak berhenti di lampu isyarat berwarna merah.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, selain itu mereka juga dinasihatkan agar tidak menyalah gunakan perkhidmatan dengan melakukan pengedaran dadah.

Katanya, ingatan itu diberikan supaya tidak menjadi isu berbangkit di daerah berkenaan.

"Yang pertamanya kita lebih memberi fokus kepada pematuhan dari segi peraturan undang-undang di jalan raya untuk memastikan dia punya pemandu daripada pihak Food Panda, Grab Food dan pihak maxim untuk mematuhi di jalan raya di daerah Kuantan khususnya pematuhan kesalahan yang kerap dilakukan iaitu tidak berhenti di lampu isyarat dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Program Perjumpaan Dan Sesi Dialog bersama Pengurus Penghantar Makanan dan e-hailing daerah Kuantan di sini.


(Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu)

Dalam pada itu, ACP Wan Mohd Zahari berkata, pengurus penghantar makanan juga dialu-alukan menjadi mata dan telinga polis dengan menyertai Rakan Cop.

"Sekarang ini sebagaimana sessi perjumpaan yang kita adakan pagi ini kita merasakan untuk pihak e-hailing menyenaraikan mereka yang dikategorikan sebagai yang aktif untuk penyertaan sebagai kita punya Rakan Cop lah," katanya.

Ia berikutan pemandu dan penunggang e-hailing merupakan mereka yang berhampiran dengan masyarakat.

Setakat hari ini, seramai seribu pemandu dan penunggang e-hailing yang aktif melaksanakan perkhidmatan penghantaran di daerah Kuantan.

Media Baharu