MELAKA, 10 Julai -Penggunaan cat pemantul haba dan pemasangan sensor suhu persekitaran merupakan antara projek berimpak tinggi yang disenaraikan dalam Pelan Tindakan Komuniti (PTK), hasil kajian bawah Program Ketahanan Iklim Bandar.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata kajian tersebut dijalankan sejak tahun 2023 melalui inisiatif global Daya Tahan Komuniti. Ia bagi menangani cabaran perubahan iklim yang memberi kesan langsung kepada penduduk setempat.
Tambah beliau, pendekatan itu turut merangkumi penyelesaian terhadap isu banjir dan pemuliharaan ekosistem setempat. Dalam masa sama, ia menjadi platform untuk membudayakan amalan baharu yang lebih lestari dalam kalangan masyarakat.
Datuk Helmy berkata kepada pemberita pada majlis pelancaran dokumen Pelan Tindakan Komuniti di sini.
PTK turut memberi penekanan kepada aspek pendidikan komuniti melalui pelbagai inisiatif, termasuk latihan kesiapsiagaan bencana, penghasilan mural bertemakan perubahan iklim, serta cadangan pembangunan Taman Poket sebagai ruang hijau komuniti.
Projek rintis itu dilaksanakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) melibatkan dua komuniti utama, iaitu Kampung Morten dan Pantai Peringgit.
Pelan Tindakan Komuniti berkenaan dibangunkan dengan kerjasama Resilient Cities Network, Z Zurich Foundation, Zurich Malaysia, Urban Scale Studio serta Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.
Hanya empat komuniti di Malaysia dipilih untuk kajian tersebut, dua di bawah pentadbiran MBMB dan dua lagi di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).