KLANG, 10 Julai -Sektor agromakanan menyumbang RM45.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) bagi suku pertama tahun ini, bersamaan 11 peratus daripada keseluruhan ekonomi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, subsektor tanaman, ternakan dan perikanan menyumbang RM13.8 bilion, makanan dan minuman pula RM9.7 bilion, manakala perkhidmatan makanan sebanyak RM22.1 bilion.
"Kita semua maklum bahawa sektor agromakanan bukan sekadar berkaitan ekonomi, malah turut melibatkan soal kelangsungan hidup, kesejahteraan rakyat, serta masa depan negara.
"Oleh itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa komited untuk memastikan sektor ini terus berkembang secara subur dan mampan," katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Pengembangan Agromakanan 2025 Jabatan Pertanian di sini, pagi tadi.
Jelasnya, penggunaan teknologi seperti dron, automasi, Internet Benda (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) kini, menjadi keperluan penting untuk meningkatkan pengeluaran makanan secara mampan serta menarik minat belia dalam bidang pertanian.
Sebagai langkah digitalisasi, sistem e-AgroLaporan dan GeoTanaman diperkenal, bagi membolehkan pengumpulan data pertanian secara masa nyata.
Melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), lebih 64,000 petani menerima manfaat daripada projek insentif berjumlah RM238 juta, manakala RM22 juta disalurkan untuk program usahawan muda seperti agropreneur muda dan projek berimpak tinggi.