fb fb fb fb fb

China komited tandatangani Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear ASEAN

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Julai -China dijangka menandatangani Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dalam masa terdekat, sebaik sahaja proses dokumentasi dimuktamadkan.

Perkara itu diumumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mesyuarat Pasca-Menteri ASEAN dengan China yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Menurut beliau, komitmen China untuk menandatangani perjanjian tersebut tanpa sebarang syarat merupakan satu perkembangan positif dan bersejarah bagi rantau Asia Tenggara.

“China telah memberi satu komitmen. Ini satu perkara yang sangat baik untuk ASEAN,” katanya.

Tambah beliau, China akan memuktamadkan penandatanganan sebaik sahaja dokumentasi yang diperlukan disiapkan.

“Secepat mungkin, apabila dokumentasi sudah sedia,” jelasnya ketika ditanya mengenai jangka masa proses berkenaan.

Dalam mesyuarat sama, perbincangan bersama China turut merangkumi isu-isu berkaitan hubungan dua hala dan kerjasama pelbagai hala, termasuk kebebasan pelayaran dan ruang udara terbuka di Laut China Selatan.

Datuk Seri Mohamad turut menekankan bahawa dari segi hubungan ekonomi, ASEAN kini merupakan rakan dagang kedua terbesar bagi China satu kedudukan strategik yang membuka lebih banyak peluang untuk memperkukuh kerjasama serantau.

“ASEAN dan China kini merupakan rakan dagang kedua terbesar bagi China. Jadi saya fikir masih banyak ruang untuk kita memperbaiki dan memperkukuhkan hubungan dua hala serta pelbagai hala dengan China,” katanya.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI