KUALA LUMPUR, 10 Julai -Malaysia menyatakan hasrat untuk menambah kuota pelajar tempatan bagi melanjutkan pengajian ke Rusia.
Perkara itu disuarakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada rakan sejawatannya dari Rusia, Sergey Lavrov, dalam satu pertemuan sebelum Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Rusia.
Menurut beliau, Rusia memberi maklum balas yang positif terhadap permintaan tersebut dan meminta agar surat rasmi serta dokumentasi berkaitan dikemukakan bagi memudahkan proses selanjutnya.
"Malaysia menyatakan keinginan untuk mendapatkan lebih banyak tempat bagi menghantar pelajar kita.
"Rusia memberi respons positif dan meminta agar surat serta dokumen rasmi dikemukakan bagi memudahkan proses selanjutnya,"katanya.
Selain itu, beliau turut menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkukuhkan lagi hubungan baik dengan Rusia, khususnya dalam bidang teknikal.
"Usaha ini merupakan langkah penting dalam menjayakan dasar kerajaan untuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Jadi ini menunjukkan kerjasama yang baik antara kedua-dua negara," tambah beliau.
Datuk Seri Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat berkenaan, yang diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri- Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.