fb fb fb fb fb

MyLesen B2: Kuota ditambah 10,000 untuk separuh kedua 2025

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 10 Julai -Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menambah 10,000 lagi kuota bagi Program MyLesen B2 untuk tempoh separuh kedua 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, 97 peratus daripada 15,000 kuota yang disediakan pada separuh pertama tahun ini telah diisi.

Jelas beliau, daripada tambahan 10,000 kuota itu, 1,000 akan diperuntukkan khusus untuk Negeri Sembilan.

“Setiap peserta akan mendapat bantuan sebanyak RM350, bermula daripada Kursus Pendidikan Pemandu Modul 1 (KPP01) hingga memperoleh Lesen Memandu Belajar (LDL). Proses ini termasuk KPP02 dan KPP03, iaitu latihan di litar dan jalan raya.

Jumlah keseluruhan peruntukan bagi program ini mencecah RM3.5 juta,” katanya.

Loke berkata demikian selepas menyerahkan lesen memandu kepada 876 peserta Program MyLesen B2, di sini.

Beliau turut meminta pihak sekolah meneliti senarai pelajar yang belum memiliki lesen motosikal untuk disaring dan disyorkan menyertai program tersebut.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN