fb fb fb fb fb

Melaka komited bantu orang asli, baik pulih dan bina kediaman

Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (paling kanan) menyempurnakan gimik Majlis Perasmian Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) 2025 di Dataran Pahlawan Melaka/ BERNAMA

BANDA HILIR, 28 Jun- Kerajaan negeri Melaka komited membantu masyarakat orang asli di negeri itu untuk membaik pulih dan membina rumah baharu untuk kumpulan itu.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha itu dijangka akan digerakkan pada tahun depan menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Menurut Datuk Dr Muhamad Akmal perkara itu adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri Melaka kepada masyarakat orang asli di negeri itu.

"Kita dah bersetuju dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka untuk membantu masyarakat orang asli untuk membaik pulih rumah atau membina kediaman baharu melalu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

"Saya nampak peruntukan itu tidak mencukupi, insya-Allah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama exco-exco kerajaan negeri Melaka setuju untuk minta LPM bantu mereka ini supaya boleh bantu aduan-aduan tertangguh melibatkan kumpulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) 2025 di Dataran Pahlawan Melaka di sini.

Setakat ini terdapat 70 aduan diterima berkaitan pembinaan baharu rumah melibatkan masyarakat orang asli.

Bagaimanapun, Datuk Dr Muhamad Akmal memaklumkan bahawa ia perlu menjalani proses tapisan dan keperluan sebelum dilaksanakan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI