BALING, 28 Jun- Projek pembinaan Empangan Sabo di Sungai Kupang dijangka siap lebih awal daripada jadual, sekali gus mampu mengurangkan risiko bencana banjir aliran puing yang mengancam keselamatan kira-kira 5,000 penduduk pekan Baling.
Menteri Dalam Negeri yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini, projek yang bernilai lebih RM22.8 juta itu telah mencapai tahap kemajuan 62 peratus berbanding 20 peratus dalam jadual asal.
Pihak kontraktor turut memberi jaminan bahawa projek tersebut akan disiapkan dalam tempoh dua bulan lagi berbanding jadual asal iaitu pada hujung tahun depan.
"Kalau ikut hari ini kontraktor perlu siap 20 peratus tetapi sekrang telah capai 62 peratus. Jarang (perkembangan projek boleh mencapai tahap ini). Saya turun ini pun cerita berkenaan dengan projek sakit, projek lambat, minta Tempoh Lanjutan Masa (EOT).
"Tetapi ini satu-satu yang dilaksanakan melebihi daripada apa yang dijangkakan. Jadi kita ucap terima kasih (kepada kontraktor) kerana risiko tanah runtuh dan aliran puing ini membawa sisa pokok dan juga bongkah batu sekiranya air deras. Pasir dan lumpur dari hulu sungai pun boleh menyebabkan bencana banjir puing," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita semasa melawat tapak Projek pembinaan Empangan Sabo di Sungai Kupang, di sini.
Datuk Seri Saifuddin Nasution turut memaklumkan bahawa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di daerah Baling telah mencapai kemajuan 12 peratus bagi Fasa 1 dan 3.68 peratus bagi Fasa 2.
Projek RTB akan memanfaatkan 5,000 penduduk pekan Baling yang berdepan bencana banjir yang terlalu kerap sebelum ini.
Projek RTB Baling Fasa 1 membabitkan kos lebih RM9.6 juta dan dijangka siap pada November tahun depan.
Sementara projek RTB Baling Fasa 2 membabitkan kos lebih RM118 juta dan dijangka siap pada Januari 2029.
Terdahulu, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengadakan lawatan di tapak projek pembinaan 17 unit rumah ganti dan kemudahan awam bagi penduduk terjejas banjir aliran puing di Kampung Iboi pada 4 Julai 2022.
Beliau berkata, projek bernilai RM3 juta itu telah mencapai kemajuan sebanyak 95 peratus.
Bencana banjir aliran puing pada 4 Julai 2022 mengakibatkan tiga beranak terkorban, 12 rumah rosak teruk atau musnah dihanyutkan arus deras manakala 17 lagi mengalami kerosakan.