GUA MUSANG, 28 Jun - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berjaya memindahkan seekor gajah jantan liar seberat dua tan yang dipercayai merosakkan hasil tanaman kebun sehingga menyebabkan kerugian RM100,000 di Taman Agropolitan Rantau Manis dan kampung sekitar, di sini hari ini.
Ketua Operasi Translokasi Gajah Liar Taman Agropolitan Rantau Manis, Mohamad Syazwan Fais Mohamad Rodzi berkata, pihaknya mengambil masa tiga jam untuk memindahkan gajah jantan liar yang diberi nama 'Pak Tam ECER'.
Menurutnya, gajah bergading lengkap dengan ukuran tapak kaki 13 inci itu ditangkap di kawasan kebun penduduk di taman berkenaan, Khamis lalu.
Katanya, seramai 26 anggota PERHILITAN Kelantan, Pusat Santuari Gajah Johor dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang terlibat dalam operasi memindahkan gajah yang dianggarkan berusia antara 20 hingga 25 tahun.
"Kalau ikutkan gajah ini berasal dari Hutan Simpan Serasa dengan anggaran 20 hingga 25 ekor dan konflik ini telah mencetuskan kebimbangan penduduk di kawasan kampung ini dengan kerugian RM100,000," katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih di atas kerjasama erat pihak pengurusan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan dibantu oleh orang kampung.
Turut berterima kasih, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Taman (JKKT), Taman Agropolitan Rantau Manis, Roslee Ibrahim.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada YB Nenggiri, pihak pengurusan KESEDAR yang menyediakan penginapan kepada pihak PERHILITAN dan pengurus ladang yang menyediakan jentolak dan semua yang terlibat membantu menyelesaikan masalah ini," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, berasa lega dengan tindakan yang telah diambil.
"Memang lega kerana gajah ni tak boleh dibuat main. Kita maklum, penduduk di sini banyak mencari rezeki dengan menoreh getah dan membuat kerja ladang. Gajah ini biasanya berkeliaran di kawasan ladang dan ada berhampiran rumah penduduk di fasa satu.
Dalam pada itu, dua ekor gajah denak iaitu Cheri dan Rambai dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah digunakan untuk memujuk gajah jantan liar berkenaan.