KOTA TINGGI, 28 Jun- Dua maut manakala sembilan yang lain cedera, dalam nahas lima buah kenderaan di Jalan Desaru-Kota Tinggi, berhampiran Felda Pasak, di sini petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan (II), Muhamad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pukul 4.17 petang.
"Dua mangsa maut, merupakan warga emas 69 dan 74 tahun, tersepit dalam kenderaan sama, dan meninggal dunia ditempat kejadian.
"Peralatan menyelamat khas terpaksa digunakan untuk membawa keluar kedua-dua mangsa, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," kata Muhamad Othman.
Sementara itu sembilan individu, termasuk seorang bayi berusia tujuh bulan, dilaporkan cedera dalam kemalangan itu.
Seramai enam orang anggota, bersama satu unit jentera bomba digerakkan dalam operasi menyelamat itu.