PUTRAJAYA, 28 Jun- Golongan belia diseru supaya berani menerima perubahan dan menyahut cabaran menjadi pemimpin hebat dalam pelbagai sektor.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, belia ASEAN mempunyai potensi besar menjadi pemacu perubahan serantau menerusi pelbagai platform termasuk bidang keusahawanan serta penglibatan dalam isu kemasyarakatan
Meskipun negara bersaiz sederhana pelbagai bentuk sokongan disediakan untuk membantu usahawan tempatan mengeksport produk ke pasaran serantau.
"Jadi di MITI, sebagai sebahagian daripada kepimpinan kita dalam ASEAN, kami secara aktif membuka lebih banyak ruang perniagaan untuk usahawan muda supaya terus mencuba.
"Kita ada Akademi PKS ASEAN dan perjanjian rangka kerja ekonomi digital. Kita berusaha supaya golongan muda dan syarikat baharu boleh memulakan perniagaan dan berhubung merentasi sempadan.
"Tetapi anda perlu melihat ASEAN sebagai pasaran kerana inilah negara anda. Saya juga menyebut berkenaan potensi besar ASEAN. Jadi bagi anda yang berminat dengan keusahawanan, kami akan membantu anda," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama semasa merasmikan penutupan Forum Belia Nusantara di sini.
Lebih 200 pemimpin belia hadir terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti bertujuan mencorakkan masa depan kepimpinan belia dan memperkukuh pembangunan negara dalam kalangan belia.