fb fb fb fb fb

Melaka cadang bina litar lumba baharu

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, VP. Shanmugam

JASIN, 3 Mac - Kerajaan Negeri Melaka bercadang untuk membina litar lumba baharu dalam usaha membangunkan sukan permotoran di negeri itu.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP. Shanmugam berkata, langkah itu juga bagi merancakkan sektor pelancongan sukan di negeri itu selain dapat mewujudkan ruang dan peluang kepada mereka yang berminat untuk menceburi sukan tersebut.

Untuk itu beliau akan membawa cadangan itu pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka.

"Ia adalah cadangan awal dengan sekurang-kurangnya dibangunkan di atas tanah berkeluasan 200 ekar, mungkin lokasi yang sesuai adalah di Jasin," katanya kepada pemberita pada saingan pembuka tirai sirkit pertama Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix, di sini.

Menurutnya, selain dapat menaikkan lagi taraf sukan ini, bakat tempatan mempunyai peluang untuk bersaing dengan lebih kompetitif bukan sahaja di peringkat nasional malah di peringkat antarabangsa.

Sementara itu VP. Shanmugam berkata, kerajaan negeri sedang menyusun pelbagai program berkaitan sukan dan belia sepanjang Mei depan termasuk penganjuran sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 dan Fit Malaysia peringkat kebangsaan.

Ini berikutan tema sukan dan belia yang dipilih pada bulan itu bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

"Selain itu beberapa pertandingan akan diselaraskan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka sebagai persiapan atlet ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dan selain kita berhasrat untuk mengadakan program besar lain seperti maraton antarabangsa yang pernah diadakan tahun lepas pada bulan tersebut namun ia masih dalam perbincangan.

"Ini antara usaha yang dilakukan kerana kita mahu pastikan pada setiap hujung minggu terdapat program berkaitan sukan dapat diadakan di negeri ini sekali gus merancakkan kedatangan pelancong, senarai penuh program akan diputuskan akhir April," katanya.

TETITIA YUSOFF