MELBOURNE, 3 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya lawatan rasminya selama lima hari ke Australia atas jemputan rakan sejawatnya, Anthony Albanese akan mencatatkan perkembangan penting dalam kerjasama antara kedua-dua negara.
Anwar berkata lawatan itu akan melibatkan beberapa mesyuarat dan pertemuan penting, perbincangan meja bulat dan juga secara langsung dengan ketua-ketua industri di Melbourne sebelum ke Canberra yang berakhir pada 7 Mac ini.
"Sayugia, saya percaya lawatan ini akan mencatatkan satu perkembangan penting dalam kerjasama antara kedua-dua negara melalui platform dua hala dan pelbagai hala, sementelahan ia telah berkembang dari satu tahap ke satu tahap dan menjadi signifikan dengan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) sejak 2021.
"Kita akan bekerja sepenuhnya dan memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Australia selain mencipta peluang dan manfaat yang terbaik untuk rakyat dan negara," katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Terdahulu, pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne Jet Base, pada pukul 10.45 malam waktu tempatan.
Beliau akan menghadiri Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia - Australia kali kedua, dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN - Australia.
Turut serta dalam lawatan kerja tersebut ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Ini merupakan lawatan kerja pertama Perdana Menteri ke Australia sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022.