fb fb fb fb fb

Bas ekspres terbabas, pemandu dan penumpang cedera parah 18 lagi cedera

Foto Polis

IPOH, 3 Mac - 19 penumpang termasuk pemandu bas ekspres cedera selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Changkat Cermin, Manjung, kira-kira 62 kilometer dari sini, petang tadi.

Pemandu dan seorang lagi penumpang cedera parah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.38 petang. 

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dibantu BBP Sitiawan dan Manjung digerakkan ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda telah terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres membawa 19 penumpang termasuk pemandu dan telah terbabas ke pembahagi jalan.

Tiada mangsa tersepit namun dua penumpang bas ekspres mengalami kecederaan parah dan telah diberi rawatan awal daripada pihak Bomba dan KKM.

Kesemua mangsa yang cedera kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Operasi tamat pukul 7.17 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang juga dari Lumut menuju ke Ipoh menukar lorong secara melulu.

"Kenderaan itu berada di lorong kanan sebelum mengubah haluan ke kiri secara tiba-tiba untuk ke lorong kiri (ke arah laluan bas ekspres).

"Tindakan itu menyebabkan pemandu bas ekspres tidak sempat menekan brek lalu gagal mengawal kenderaan dan kemudian terbabas," katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

TETITIA YUSOFF