fb fb fb fb fb

Enam kes sengatan ubur-ubur berbisa di Kelantan

Kes sengatan ubur-ubur yang dikenali Portuguese Man o’ war itu dikesan di Bachok

KOTA BHARU, 3 Mac - Enam kes sengatan ubur-ubur berbisa spesis Physalia Physalis diterima Jabatan Kesihatan Kelantan, melibatkan enam kanak-kanak berusia satu hingga 11 tahun pada Jumaat lepas.

Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin menerusi kenyataan berkata kes sengatan ubur-ubur yang turut dikenali sebagai Portuguese Man o’ war itu dikesan di Bachok iaitu dua kes di Pantai Melawi, manakala empat kes di Pantai Baru.

Kesemua mangsa diberikan rawatan awal di Klinik Kesihatan Bachok dan telah dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh serta Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

"Kesemua mangsa, bagaimanapun telah dibenarkan pulang setelah pemeriksaan kesihatan mendapati keadaan mereka stabil,” katanya.

Beliau berkata tiada antivenom untuk bisa yang disebabkan oleh sengatan ubur-ubur spesies berkenaan dan rawatan yang diberikan adalah untuk melegakan gejala.

Sehubungan itu, Dr Zaini menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan tidak berenang di kawasan yang telah disahkan kehadiran hidupan berkenaan serta tidak menyentuh sehingga keadaan selamat dan makluman rasmi dikeluarkan oleh pihak berkenaan.

"Sekiranya terkena sengatan, orang ramai diminta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran,” katanya.

Difahamkan, spesies ubur-ubur itu telah dikesan di perairan Pahang dan Terengganu serta mempunyai sengatan berbisa dan boleh membawa kematian.

TETITIA YUSOFF