fb fb fb fb fb

Mohd Naim harap peguam syarie eratkan kesatuan, kukuhkan institusi perundangan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 3 Mac - Semua peguam syarie diharapkan dapat mengeratkan kesatuan dan menjaga disiplin diri dalam usaha mengukuhkan institusi perundangan dan kehakiman syariah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar juga berharap supaya peguam syarie dan institusi kehakiman syariah bergerak bersama-sama demi keutuhan sistem perundangan dan kehakiman syariah.

"Sebagai Menteri yang dipertanggungjawabkan bagi hal ehwal Islam termasuk perundangan dan kehakiman syariah di negara ini, saya sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan maklum balas membina khususnya berkaitan pengurusan Mahkamah Syariah," katanya menerusi laman Instagramnya.

Mohd Na’im mengucapkan tahniah kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Persatuan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan kerana mengambil inisiatif menganjurkan Program Sukan Peguam Syarie pada tengah hari tadi.

"Program ini amat penting untuk saling mempertautkan ukhuwah silaturrahim sesama kita, selain saling beriadah dengan penuh semangat kesukanan. Terima kasih atas ukhuwah dan silaturrahim dalam program ini. Semoga kita semua dipermudahkan segala urusan," katanya.

TETITIA YUSOFF