LONDON, 4 Mac - Manchester City mencerahkan peluang mempertahan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan seteru utama, Manchester United 3-1 di laman sendiri.
Skuad kendalian Pep Guardiola terlebih dahulu dikejutkan dengan gol seawal minit ke-8 United, hasil rembatan padu Marcus Rashford dari luar kotak penalti.
Keampuhan benteng pertahanan pasukan pelawat selepas itu berjaya menafikan deretan peluang City termasuk daripada pemain sayap, Phil Foden.
Foden bagaimanapun menebus kekecewaan itu dengan meledak gol penyamaan pasukan pada minit ke-56 sebelum meletakkan pasukan di depan pada minit ke-80.
City yang memiliki lebih 70 peratus penguasaan bola berhasil menambah gol ketiga yang ditolak masuk penyerang berbisa, Erling Haaland.
Kemenangan 3-1 membolehkan juara bertahan itu cuma ketinggalan satu mata di belakang Liverpool yang kini mengutip 63 mata.