fb fb fb fb fb

Melaka beri sumbangan kepada keluarga terlibat tanah runtuh

MELAKA, 19 Disember- Kerajaan Negeri Melaka melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan menyalurkan bantuan kewangan dan kit makanan kepada keluarga yang terlibat kejadian tanah runtuh di Batang Kali.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, beliau sendiri akan melawat keluarga terlibat dalam tempoh terdekat.

“Insya-Allah kit makanan sedia ada akan disalurkan dan mungkin juga kita cuba dapatkan sedikit bantuan kewangan bagi mereka yang terlibat dalam tragedi ini," katanya selepas Majlis Program Sumbangan Perayaan Krismas Tahun 2022 di Ayer Keroh , Melaka.

Menurutnya, dalam kejadian tanah runtuh tersebut seramai lapan mangsa daripada dua keluarga berasal dari Kampung Baru Machap, Alor Gajah.

Beliau turut bersimpati kepada mangsa dan ahli keluarga terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada Jumaat.

(Kalsom Nordin)

Media Baharu