KUALA LUMPUR, 9 November- Mekanisme penetapan tarif dan ketidakseimbangan kos laluan air akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri hujung tahun ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perkara itu juga telah mendapat persetujuan kerajaan negeri merentas parti seluruh negara.
Ini bertujuan memohon kebenaran penetapan tarif baharu bekalan air menjelang 2024.
"Tarif air kita terlalu rendah, semua saya tengok kebanyakan kerajaan negeri bersetuju dan kita akan bawa kertas mekanisme penetapan tarif dan juga ICPT (Pelepasan Kos Tidak Seimbang) untuk air ke Jemaah Menteri sebelum hujung tahun dengan harapan untuk kita benarkan penetapan tarif-tarif baharu bagi kerajaan-kerajaan negeri menjelang 2024", katanya dalam sesi Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Dalam pada itu, pihaknya juga mempelbagai kaedah alternatif bagi menjamin kelestarian sumber air termasuk penuaian air hujan sebagai air minuman.
Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) antara badan yang aktif mempromosi produk berkenaan.