KUALA LUMPUR, 9 November-Tahap kecekapan pegawai penjawat awam harus dipertingkat bagi mempercepatkan pelaksanaan sesuatu projek atau perancangan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memastikan peraturan diikuti merupakan satu kemestian, bagaimanapun pelaksanaan mengikut masa yang ditetapkan dapat menjayakan matlamat yang telah ditetapkan.
"Betul kita runding kita teliti, tetapi seperti biasa ada masalah sekiranya kita lewat meluluskan.
"Dan ada pandangan yang bukan setakat Kuala Lumpur tetapi seluruh negara yang disebut ease of doing business, kepantasan atau kecepatan meluluskan, setelah mengambil kira semua peraturan yang diteliti, dicerakin sebelum keputusan dibuat," kata Anwar dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini.
Berlandaskan visi Bandar Untuk Semua, PSKL2040 itu bakal memartabatkan ibu negara sebagai bandar raya inklusif berpaksikan pembangunan mampan, pengurusan bertaraf antarabangsa serta jaminan kualiti hidup bandar raya sejahtera.
PSKL2040 merupakan rangka tindakan komprehensif yang mengambil kira perubahan semasa dan masa hadapan seperti perubahan iklim, ekonomi, demografi, gaya hidup dan infrastruktur Kuala Lumpur.