KUALA LUMPUR, 9 November- Skim Pembiayaan TEKUN Niaga terus dipergiat menerusi TEKUN Nasional bagi membantu usahawan pemula menyediakan modal dalam memulakan perniagaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, setakat ini nilai pembiayaan yang ditawarkan adalah sebanyak RM1,000 hingga RM100,000 kepada semua usahawan mikro termasuk usahawan pemula.
"Mengenai cadangan supaya TEKUN Nasional melaksanakan program start up kepada usahawan yang baharu memulakan perniagaan, TEKUN Nasional telah menawarkan Skim Pembiayaan TEKUN Niaga yang menyediakan kemudahan modal kecil perniagaan dengan nilai pembiayaan diantara RM1,000 hingga RM100,000 kepada semua usahawan mikro termasuk juga kepada bakal usahawan.
"Bagi tahun 2024, peruntukan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2024 bagi Skim Pembiayaan TEKUN Nasional ialah sebanyak RM330 juta yang turut merangkumi Skim Pembiayaan TEKUN Niaga", katanya dalam sesi Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Wakil Pulai, Suhaizan Kaiat di Parlimen.
Sejak penubuhannya, sebanyak RM8.98 bilion telah diperuntuk TEKUN Nasional dalam membantu usahawan.
Manakala bagi tahun ini, sebanyak RM922.6 juta atau 42,383 pembiayaan telah diluluskan setakat 31 Oktober.
Dalam pada itu, Datuk Ewon Benedick turut menegur sikap segelintir usahawan yang memilih untuk meminjam wang daripada 'Ahlong' (ceti haram) untuk dijadikan modal, memajukan perniagaan.
Tambahnya, pelbagai program telah dilaksanakan oleh TEKUN Nasional untuk memberi manfaat serta memudah cara pinjaman kepada usahawan di seluruh negara.
"Itu sebabnya, kita telah membuat hebahan dan promosi skim-skim pembiayaan TEKUN melalui penyertaan dalam pameran dengan agensi-agensi kerajaan, kita juga ke radio-radio, televisyen milik kerajaan, radio negeri termasuk saluran Minnal fm bagi masyarakat India sebab kita ada skim untuk kaum India, saluran Asyik fm untuk orang Asli kerana kita skim untuk pembiayaan untuk orang Asli dan media sosial rasmi TEKUN.
"Semua ini, kita adakan dengan niat mahu supaya usahawan ini datang kepada kita, jika mereka memilih yang lain, itu diluar kawalan kita. Untuk makluman, kita telah mempermudahkan proses permohonan TEKUN yang diadakan selepas COVID-19, katanya.