KUALA LUMPUR, 9 November- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan kesalahan salah guna harta serta pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas bekas menteri belia dan sukan itu.
Syed Saddiq yang turut diwakili peguamnya Gobind Singh Deo dan Haijan Omar dilihat akur dengan keputusan mahkamah.
Menerusi keterangan peguam, beliau memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman minimum di atas kesalahan tersebut serta meminta pihak mahkamah mempertimbangkan jasa anak guamnya yang merupakan bekas menteri belia dan sukan pada 2018 hingga 2020.
Peguam tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan keterangan saksi pembelaan yang menyatakan wang dalam kes anak guamnya itu digunakan untuk membantu orang ramai ketika pandemik COVID-19 dan juga urusan kebajikan lain.
Berdasarkan keterangan saksi pembelaan tiada unsur penggunaan wang tersebut bagi tujuan peribadi.