fb fb fb fb fb

MMM bakal ditubuh, bantu pengamal media mendepani cabaran

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 November- Komitmen kerajaan dalam mempertahankan kebebasan media kekal dan terus dipergiat.  

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata ke arah itu, lapan sesi perbincangan bersama ahli jawatankuasa Pro-tem telah dilaksana berhubung penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM).

Jelas Fahmi, penubuhan badan itu juga bagi membantu pengamal media mendepani cabaran masa kini.

"Sebagai komitmen dan sokongan kerajaan untuk terus meningkatkan kebebasan media di negara ini serta membantu pengamal media menangani cabaran yang dihadapi, kerajaan secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan penubuhan MMM sebagai sebuah badan kawal selia kendiri melalui akta yang berkaitan.

"Cadangan penubuhan MMM mengambil kira peranan majlis tersebut untuk mempertahankan kebebasan media di negara ini dalam menyampaikan maklumat," kata Fahmi ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat, di sini.

Tambahnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mengambil inisiatif mengadakan beberapa sesi dialog dan mesyuarat bersama organisasi media bagi membincangkan isu berkaitan kebebasan media.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM