KUALA KEDAH, 9 November- Sebanyak 208 set bubu naga berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata ia hasil lima siri operasi yang dijalankan selama dua minggu di beberapa lokasi di sekitar perairan Yan hingga ke Kuala Kerpan.
"Kami mendapati nelayan menggunakan pelbagai taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
"Antaranya mengubah lokasi semasa pemasangan bubu dan meletakkan pelampung penanda seperti botol, pancang kayu dan beberapa alatan GPS pada setiap bubu naga yang berukuran kira-kira 10 meter panjang.
"Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM25,000 dan ia dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985," kata Noor Azreyanti menerusi kenyataan.
Bermula Januari hingga kini, Maritim Kuala Kedah berjaya merampas 1,264 unit bubu naga bernilai lebih RM150,000.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.