fb fb fb fb fb

Agong berkenan terima menghadap delegasi Republik China

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Naib Presiden China Han Zheng

KUALA LUMPUR, 9 November- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap delegasi Republik China diketuai Naib Presiden China Han Zheng di Istana Negara, hari ini.

Baginda menyantuni serta meluangkan masa hampir 45 minit bersama-sama Han Zheng yang tiba bersama delegasi pada 12.45 tengah hari.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Liew Chin Tong dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Beliau kini dalam lawatan rasmi di negara ini sehingga 11 November, bersempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China tahun ini.

Beliau yang tiba di Malaysia semalam, dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana awal petang ini.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan beberapa perkara khususnya kerjasama bilateral melibatkan kedua-dua negara. 

Antaranya, isu dua hala serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, kerjasama dalam industri halal, konflik Palestin-Israel, di samping meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China yang akan disambut pada tahun 2024.

Zheng turut dijadual menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Sri Satria, malam ini.

Selain itu, Zheng juga telah melawat Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Perak pagi tadi dan dijadualkan melawat ke Pulau Pinang, esok.

ROSLINA BINTI DIN