fb fb fb fb fb

Medan Ilmu di Kota Bharu kembali meriah dengan pengajian secara bersemuka

KOTA BHARU, 30 April - Medan Ilmu di Jalan Dato' Pati, Kota Bharu kembali meriah selepas lebih dua tahun tidak dapat menjalankan sesi pengajian secara bersemuka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata majlis perasmiannya disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Menurut beliau, dalam tempoh pandemik COVID-19, pengajian terpaksa dilaksanakan secara dalam talian.

"Kita dalam masa dua tahun kuliah (diadakan) secara online (dalam talian) tapi tadi (secara) bersemuka sambutan Alhamdulillah tapi tak ramai seperti biasa,pelancaran baharu dekat dengan sambutan raya, jadi sambutan tadi ramai tapi tak terlalu ramai, sebelum ni memang ramai, kehadiran lepas raya ini Insya-Allah, seminggu lepas cuti raya akan mula balik pengajian" kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN) Bersama Media, di sini.

Hadir sama Pengarah UPKN, Ahmad Fathan Mahmood, Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, Wan Azhan Wan Hamad dan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Majidah Ismail.


(Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud)

Sejak lebih 40 tahun lalu, bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik memulakan pengajian tafsir di Dewan Zulkifli Muhammad sehinggalah dipindahkan ke Dataran Medan Ilmu sejak tahun 2004 memandangkan sambutan yang cukup menggalakkan daripada rakyat untuk menimba ilmu.

Penggunaan Medan Ilmu ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam menyemarakkan budaya menuntut ilmu dalam kehidupan masyarakat negeri berkenaan.

Jelas Mohd Nasuruddin, kuliah pagi yang diadakan setiap Jumaat berlangsung sebanyak dua sesi iaitu pukul 8.30 pagi dan sesi kedua pukul 9.30 pagi secara bergilir-gilir sepanjang empat minggu yang disampaikan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar, Datuk Muhammad Amar Nik Abdullah serta beliau sendiri.

Dataran ini mampu memuatkan sehingga 2,000 orang pada satu-satu masa.

Katanya, walaupun kerajaan menetapkan tiada lagi pemakaian pelitup separuh muka bermula 1 Mei depan, namun orang ramai yang ingin mengikuti kuliah digalakkan meneruskan budaya memakai pelitup muka dan menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) lain bagi mencegah penularan COVID-19.

Media Baharu