ALOR SETAR, 30 April - Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar mewujudkan pasukan "Jammed Squad" yang akan bertindak sebagai tindak balas utama dalam menyuraikan kesesakan jalan raya yang berlaku sepanjang musim perayaan terutama di Bandaraya Alor Setar.
Ia berikutan lebih 120,000 kenderaan dijangka memasuki daerah Alor Setar menjelang sambutan Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata pasukan itu terdiri daripada seorang pegawai dan enam anggota.
(Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir)
"Pihak polis juga meminta pengguna jalan raya untuk menyalurkan aduan dan maklumat berhubung kesalahan trafik dengan menghantar bukti gambar dan video," kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya di Plaza Tol Alor Setar Selatan sempena program advokasi, di sini.
Beliau turut meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama petugas trafik.
Selain itu, polis juga akan memuat naik gambar atau video kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya di laman media sosial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar sebagai pengajaran kepada pengguna jalan raya yang lain.