fb fb fb fb fb

JPJ giat lakukan pemeriksaan di depoh bas seluruh negara menjelang Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 30 April - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan pemeriksaan ke atas 394 buah bas ekspres di 77 buah depoh bas seluruh negara menjelang Aidilfitri ini.

Daripada jumlah itu, 20 notis larangan penggunaan bas telah dikeluarkan kepada pengusaha bas kerana tidak mengikuti standard dan piawaian yang ditetapkan pihak JPJ.

Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, aktiviti pemeriksaan bas memberi fokus kepada aspek teknikal kenderaan seperti seperti brek, tayar dan lampu.

Ia dilakukan bagi memastikan semua bas ekspres berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh JPJ.

Selain itu, pihaknya turut melaksanakan ujian air kencing kepada 480 pemandu bas bagi memastikan mereka tidak berada dibawah pengaruh dadah ketika memandu.

"Alhamdulillah didapati keseluruhan pemandu-pemandu yang ada, kita dapati setakat ini masih negatif, jadi itu menunjukkan tahap kesedaran pengusaha-pengusaha bas dan pemandu semakin tinggi di mana mereka telah pun membuat saringan awal dan memastikan bahawa pemandu-pemandu yang memandu kenderaan-kenderaan awam ini tidak terlibat dengan pengaruh dadah," kata beliau ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan pemeriksaan JPJ sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini.


(Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan melakukan tinjauan pemeriksaan
sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS))

Pihaknya juga telah menggerakkan 224 anggota untuk melakukan pemeriksaan di terminal-terminal bas seluruh negara.

Ops HRA mula dilaksanakan semalam sehingga 8 Mei depan sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri.

Dalam pada itu, Lokman turut menyarankan orang ramai untuk membuat aduan dan laporan menerusi aplikasi E-Aduan JPJ terhadap sebarang salah laku pengguna jalan raya sepanjang tempoh musim perayaan ini.

"Masukkan, ambil gambar, ambil tarikh, masa, berikan pada kami, kami akan membuat pemeriksaan seterusnya, akan menjalankan siasatan dan jika siasatan itu menunjukkan berlakunya kesalahan, kami akan mengambil tindakan," menurut beliau.

Aduan yang dibuat perlu lengkap dengan waktu, tempat, video dan gambar bagi memudahkan siasatan dijalankan.

Media Baharu