fb fb fb fb fb

MEASAT-3d: Liputan internet lebih meluas kepada masyarakat orang asli di pedalaman

KOUROU, FRENCH GUIANA, 23 Jun- Pelancaran satelit MEASAT-3d diharap dapat menawarkan liputan internet meluas dan pengalaman jalur lebar lebih baik kepada penduduk di perkampungan orang asli.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Datuk Mohd Nor berharap MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd akan mempertingkatkan fokusnya kepada golongan itu di kawasan pedalaman.

Ini memandangkan mereka masih tidak mempunyai akses atau akses terhad kepada internet jalur lebar berkelajuan tinggi.

"Pada masa sekarang pendedahan kepada maklumat di luar itu amat perlu, jika kita ada kapasiti internet yang berkelajuan tinggi bukan sahaja kita dapat berhubung dengan mereka tetapi dapat menyampaikan hasrat dan perkara yang terkini.

"Jadi dia akan terdedah kepada isu terkini dan tahu apakah perancangan kerajaan dalam membangun sosio ekonomi mereka di samping pendidikan, ini sangat penting.

"Pendidikan jika dihubungkan dengan internet berkelajuan tinggi mereka akan lebih dapat akses yang cepat memandangan mereka berada di jauh pedalaman, ini perkara terbaik yang berlakulah," katanya.

(Sapiah Mohd Nor)

Beliau berkata demikian selepas mengikuti pelancaran MEASAT-3d di Agensi Angkasa Eropah, di sini.

MEASAT-3d dijangka menghubungkan sekitar 3 hingga 5% populasi yang sukar dicapai menggunakan talian fiber di Malaysia.

Measat setakat ini melancarkan lebih daripada 3,000 tapak CONNECTme NOW di seluruh negara, dengan majoriti di kawasan terpencil Sabah dan Sarawak.

Media Baharu