fb fb fb fb fb

MCMC keluarkan 40 notis wajib kepatuhan libatkan 449 lokasi jalur lebar

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan 40 notis wajib kepatuhan melibatkan 449 lokasi jalur lebar dari 1 Januari hingga 15 Jun lalu.

Jumlah lokasi tersebut sebahagian daripada 3,038 lokasi di seluruh negara yang terlibat dalam proses audit teknikal di bawah Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, lokasi berkenaan dipilih berdasarkan rekod aduan diterima pihaknya.

Daripada jumlah notis yang dikeluarkan, tiga maklum balas notis telah dinilai.

"MCMC turut mengemukakan Arahan Suruhanjaya kepada tiga syarikat telekomunikasi iaitu Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd dan U Mobile Sdn Bhd.

"Ketiga-tiga syarikat didapati gagal memenuhi piawaian perkhidmatan jalur lebar dan menambah baik kualiti perkhidmatan di beberapa kawasan di Langkawi dan destinasi tumpuan pelancong," menurut kenyataan tersebut.


(Foto hiasan)

Arahan Suruhanjaya didaftarkan pada 19 Mei 2022 menuntut syarikat terbabit membuat penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan kualiti pengalaman pengguna pada tahap yang baik dan memenuhi MSQoS.

Jika gagal, syarikat telekomunikasi berisiko dikenakan penalti sehingga 200 ribu ringgit di bawah seksyen 109, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM).

Proses audit dilaksanakan bagi memantau tahap prestasi kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan.

Media Baharu