CYBERJAYA, 20 Disember- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan perkhidmatan media sosial.
MCMC memaklumkan kod tatalaku itu dibangunkan untuk menyokong kerangka kelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan perkhidmatan media sosial yang menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh penyedia perkhidmatan dalam menangani kandungan dalam talian yang memudaratkan dan keperluan tatalaku yang lain.
"Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) bertujuan untuk memastikan penyedia perkhidmatan mengutamakan keselamatan dalam talian terutama untuk kanak-kanak dan golongan rentan," menurut kenyataan di sini.
MCMC akan memberikan panduan dalam penerapan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) ini untuk memastikan keberkesanannya bagi mengekalkan persekitaran dalam talian yang selamat.
Menurut MCMC, kod tatalaku berkenaan juga akan disemak dari semasa ke semasa mengikut keperluan untuk memastikan ia kekal relevan dan berkesan dalam menangani cabaran semasa.
Maklumat lanjut dan akses kepada Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) boleh diperoleh di https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/Resources/MCMC CO de-of-Conduct-Best-Practice-for-Service-Providers.pdf.
"MCMC menghargai maklum balas yang diterima sepanjang proses rundingan awam berkenaan. Maklum balas pihak awam membantu memastikan kod tatalaku itu mampu menangani cabaran yang sentiasa berkembang dalam persekitaran dalam talian sambil mewujudkan ruang lebih selamat serta terjamin untuk semua rakyat Malaysia," menurut kenyataan.