KUALA LUMPUR, 20 Disember- Tahun hadapan menandakan tahun penting bagi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), khasnya apabila Malaysia mengambil alih kepimpinan sebagai pengerusi ASEAN.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tatkala negara dunia membentuk blok dan semakin bersaing antara satu sama lain, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan terus berusaha memajukan Visi Komuniti ASEAN 2045.
“Ia satu pelan strategik jangka panjang (Visi Komuniti ASEAN 2045) bertujuan untuk memandu pertumbuhan dan kemakmuran rantau ini sepanjang dua dekad akan datang.
Rangka kerja ini berhasrat untuk membentuk masa depan inklusif dan tahan lasak, satu langkah yang akan menegakkan keamanan dan kemakmuran di seluruh Asia Tenggara,” jelas Anwar menerusi artikel di www.project-syndicate.org.
Kataya, ketika ASEAN ditubuhkan pada tahun 1967 di Bangkok, rantau ini merupakan medan pertempuran Perang Dingin yang terperangkap dalam konfrontasi ideologi.
“Hari ini, rakyat Asia Tenggara sekali lagi merasai mereka berada di ambang persaingan kuasa besar. Namun ASEAN yang ditakrifkan sejak awal iaitu memupuk keamanan, kestabilan dan pembangunan menjadikan ia kekal dan sangat relevan.
“Kini, dengan 10 negara anggota dan lebih 660 juta penduduk, ekonomi blok ini meskipun mempunyai landskap politik berbeza, ASEAN adalah antara paling dinamik di dunia,” tulis Anwar menerusi ruangan berkenaan.
Jelasnya, Kepimpinan ASEAN 2025 Malaysia tahun hadapan, dibina atas visi kemajuan bersama, dipandu tema ASEAN 2025: Keterangkuman dan Kelestarian. Visi itu bertujuan untuk menggabungkan pragmatisme ekonomi berpusat kepada nilai kemanusiaan, tanpa meminggirkan sesiapa sahaja.
Visi tersebut merangkumi janji untuk mencipta peraturan berasaskan sistem serantau, bukan sahaja melindungi kemakmuran tetapi juga meningkatkan kestabilan Asia Tenggara dan menangani ketegangan antara kuasa besar.
Dalam artikel berkenaan, Anwar turut mengulas penerimaan Timor-Leste sebagai ahli penuh ASEAN.
“Ia merupakan satu langkah penting, memperluaskan komuniti sehingga merangkumi keseluruhan Asia Tenggara dalam aspek geografi sambil menawarkan platform yang sangat diperlukan kepada Timor-Leste untuk mengejar pembangunan, sama seperti ahli-ahli lain dalam mengekalkan autonomi strategiknya,” kata Anwar.
Perdana Menteri turut menyatakan, peningkatan semasa ketegangan global, daripada persaingan strategik hingga ke gangguan iklim, semangat kerjasama ASEAN akan terus diutamakan.
"Pilihan jelas: ASEAN mesti bergerak ke hadapan secara bersama atau menangani ancaman kuasa pemecah belah yang semakin berkembang di seluruh Asia dan rantau luar," kata Anwar.
Cita-cita (ASEAN) bukan sekadar untuk menegakkan kestabilan tetapi untuk membentuk susunan serantau lebih adil.
Visi itu termasuk komitmen untuk mengakhiri kekacauan di Myanmar, ujian yang perlu dilalui secara kolektif oleh ASEAN jika mahu mengekalkan kredibilitinya.
Anwar turut menyatakan bahawa kepengerusian Malaysia juga diharap dapat memperkukuh hubungan luar ASEAN termasuk rakan ASEAN+ iaitu China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia, dan New Zealand – serta kumpulan global baru muncul, BRICS+.
Rancangan ke hadapan termasuk sidang kemuncak dengan Majlis Kerjasama Teluk dan China, menunjukkan hasrat ASEAN untuk memperluaskan rangkaian ekonomi dan strategik sehingga menjangkau luar sempadan.
Kerjasama dua pihak ini dapat menarik pelaburan asing, memperluas akses pasaran, dan meningkatkan infrastruktur satu agenda yang selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030, bertujuan untuk memacu sektor pembuatan dan logistik negara.
Dalam artikel sama, Anwar turut mengulas bahawa pandemik COVID-19 yang menyebabkan rantaian bekalan global rentan, memerlukan ASEAN untuk mengurangkan risiko tersebut dengan memperkukuhkan daya tahan negara anggota seterusnya mempelbagaikan perkongsian.
Justeru, bagi menangani kerentanan itu, ASEAN perlu membuat pelaburan merangkumi infrastruktur, meningkatkan keterhubungan, dan mengurangkan risiko gangguan perdagangan.
Selain itu, ASEAN juga perlu mempelbagaikan asas pengeluaran dan laluan perdagangan bersama menerusi penglibatan aktif dengan negara ASEAN+ dan BRICS+ sekali gus membantu memperkukuhkan kedudukan rantau ini dalam rangkaian bekalan global.
Kata Anwar, ASEAN juga perlu melabur dalam infrastruktur, pelabuhan, rel, jalan raya kerana ia penting untuk memastikan kedudukan ASEAN sebagai hab utama dalam perdagangan antarabangsa, terutamanya dalam industri berimpak tinggi seperti elektronik dan pertanian.
Dalam artikel berkenaan, Anwar turut menyentuh soal transformasi digital yang dikatakan sebagai komponen penting dalam strategi ASEAN untuk kekal berdaya tahan.
“Dengan memajukan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, blockchain dan analisis data raya, rantau ini akan terus berusaha untuk meningkatkan ketelusan rantai bekalan dan pengurusan risiko. Infrastruktur digital seperti ini akan memainkan peranan penting dalam memupuk kestabilan ekonomi dalam persekitaran global yang tidak menentu.
"Tiga dekad lalu, saya menulis buku The Asian Renaissance, membayangkan kebangkitan intelektual, budaya, dan sosialpolitik untuk Asia. Hari ini, Asia Tenggara berada dalam ambang transformasi baharu, diperkukuhkan menerusi tadbir urus beretika dengan kemajuan bersama.
“Nilai-nilai seperti belas kasihan, keadilan, dan integriti mesti disulam dalam struktur masa depan ASEAN, sekiranya rantau ini ingin mencapai kebangkitan kedua yang memberi manfaat kepada semua”, menurut Anwar dalam artikel berkenaan.