KUALA LUMPUR, 20 Disember- Tarikh penggabungan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah diputuskan dan akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, memaklumkan bahawa tarikh tersebut ditetapkan susulan kelulusan dua Rang Undang-Undang berkaitan industri penerbangan oleh parlimen pada 30 Julai 2024.
Menurut beliau, ketika ini pihaknya masih membuat persediaan dalam memperkemas kesemua proses berkaitan.
"Di pihak kami pun sama. Jika kami melihat sebarang kekurangan dalam proses, kami boleh tambah atau kurangkan. Kami boleh membantu.
"Proses itu mesti berjalan setiap hari. Ia sudah ada. Cuma tinggal nak disesuaikan," katanya selepas majlis makan tengah hari penghargaan media anjuran CAAM di sini.
Tambahnya, langkah penggabungan tersebut bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dalam industri penerbangan melalui penerapan komunikasi yang lebih efektif antara kedua-dua pihak.
Selain itu, langkah itu juga memudahkan syarikat yang berminat untuk menubuhkan syarikat penerbangan baharu, menyediakan perkhidmatan pengendalian darat, dan meluaskan operasi ke destinasi baharu, sekali gus menyokong pertumbuhan serta pembangunan industri secara menyeluruh.