KUALA LUMPUR, 20 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan 15,000 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) tahun depan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia bagi membantu meringankan beban masyarakat khususnya dalam menangani isu kos sara hidup.
Sehingga kini, sebanyak 11,240 siri PJRM berjaya dianjurkan dan akan terus dilaksanakan di semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kerajaan amat prihatin dan kita melihat penganjuran program-program jualan murah ini, PJRM ini, merupakan salah satu strategi yang perlu dilaksanakan.
"Atas sebab itu peruntukan telah pun ditambah inisiatif Payung RAHMAH ini daripada RM200 juta bagi tahun 2024 kepada RM300 juta untuk tahun 2025," katanya pada sidang media Majlis Pengumuman SHMMP Sempena Krismas 2024 dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di sini.