fb fb fb fb fb

MCMC selesai rakam percakapan individu hina nabi, kad sim disita

Foto MCMC

KUALA LUMPUR, 24 April- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan seorang individu yang memuat naik komen bersifat jelik melampau yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam di laman aplikasi Facebook yang dipercayai milik lelaki itu.

MCMC menerusi satu kenyataan memaklumkan rakaman percakapan lelaki berumur 63 tahun itu dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor pada 20 April lepas.

"Telefon bimbit berserta kad sim yang digunakan oleh lelaki itu untuk memuat naik komen telah disita bagi tujuan analisis forensik," kata kenyataan itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah MCMC, dalam masa terdekat kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara dan akan diberikan taklimat, bagi mendapatkan keputusan.

"MCMC menegaskan tidak akan berkompromi dan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan platform media sosial khususnya menyentuh isu 3R (Agama, Kaum dan Institusi diraja) yang berpotensi mengakibatkan ketegangan antara agama dan mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia," tegas kenyataan itu.

Orang ramai turut diingatkan untuk menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM