GUA MUSANG, 27 November - Seramai 110,000 penduduk di daerah Gua Musang serta jajahan kecil Lojing diingatkan sentiasa peka dengan keadaan paras sungai yang boleh menyebabkan risiko banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail berkata, perkara itu susulan 100 kawasan rendah di lima jajahan di Kelantan diramal berdepan banjir bermula hari ini hingga 30 November.
Agensi keselamatan di daerah Gua Musang juga sentiasa bersedia dengan pelbagai aset untuk membantu penduduk terjejas benjir.
Dalam pada itu penduduk orang asli di pedalaman, juga perlu lebih berhati-hati bagi mengelak risiko tanah runtuh. Selain itu dinasihatkan bergerak secara berkumpulan sekiranya perlu memasuki hutan.
"Kita mempunyai aset seperti bot, lori, pikap dan ambulans yang Insya-Allah mencukupi. Selain bot milik kita, terdapat juga aset daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berada dalam keadaan siap siaga di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
"Kita turut menerima bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), termasuk makanan asas retort serta kira-kira 400 bakul makanan untuk diagihkan kepada mangsa yang ditempatkan di PPS," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Sebelum ini Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan lebih 100 kawasan rendah di lima jajahan di Kelantan diramal berdepan banjir.
Ia susulan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) Jabatan Meteorologi Malaysia pada 24 November lepas serta paras air beberapa sungai utama yang dijangka melepasi paras bahaya.
Antara kawasan yang dijangka terjejas ialah Gua Musang, Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah, membabitkan kampung-kampung dalam lingkungan lima kilometer dari Lembangan Sungai Kelantan.