fb fb fb fb fb

Banjir Hat Yai: 36 pelajar, dua pensyarah UUM berjaya diselamatkan

Foto FB Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir

PUTRAJAYA, 27 November - Kesemua 36 pelajar dan dua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas di Hat Yai, Thailand akibat banjir yang melanda kawasan itu, sudah berjaya diselamatkan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memaklumkan, mereka dalam keadaan selamat dan akan dibawa ke penempatan sementara, sebelum pulang ke tanah air.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pihak pengurusan UUM atas koordinasi yang amat berkesan dalam memastikan operasi menyelamat ini dapat dijayakan dengan selamat dan teratur," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut berharap usaha selanjutnya termasuk membawa pulang kesemua warga UUM itu akan dipermudahkan.

Pelajar berkenaan dilapor berada di wilayah selatan Thailand itu bagi menyertai Program Pertukaran Budaya Malaysia-Thailand 2025.

Mereka sepatutnya pulang ke tanah air pada Sabtu lepas, namun terpaksa ditangguhkan selepas terperangkap di hotel akibat banjir besar.

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR